Saturday, April 18, 2009

Nak ajar baby hisap susu



Bagi bayi-bayi yang memakai feeding tube, kebiasaannya mereka tidak boleh menghisap puting. Mereka menerima nutrien sepenuhnya daripada feeding tube tersebut.

OLeh itu, apakah tindakan yang boleh para ibu lakukan untuk melatih anak mereka supaya boleh menghisap seperti bayi-bayi yang lain?

1) Berikan bayi anda mainan getah yang boleh dimaukkan ke dalam mulut/dikepap/dihisap. Mainan sebegini banyak terdapat di pasar raya di kawasan barangan bayi. Alat ini dapat membantu bayi meneroka anggota yang ada di dalam mulutnya (gusi/lidah/dalam pipi). Tetapi pastikan mainan tersebut dibersihkan selalu.

2) Buat latihan urutan muka dan bibir. Urut pipi, dagu, atas bibir, dan kedua-dua bibir anak anda. Urutan-urutan sebegini dapan merangsang otot-otot muka yang terlibat dalam proses menghisap.

3) Gunakan sudu besi yang sejuk (telah direndam di dalam ais), dan sapukan sudu tersebut di dalam mulut anak anda. Sapukan sudu di atas lidah, tepi lidah (kiri dan kanan) dan kawasan dalam pipi.

4) Seterusnya, gunakan jari anda (pastikan bersih), dan masukkan ke dalam mulut anak. Cuba perhatikan reaksi yang diberikan oleh anak. Adakah dia menutup bibirnya, atau mengeluarkan lidahnya, atau menaikkan lidahnya, atau tiada apa-apa reaksi?

5) Selain itu, boleh juga mencuba menggunakan puting plastik. Masukkan puting ke dalam mulut anak, dan pusing-pusingkan puting tersebut. Perhatikan respon yang diberikan.

6) Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa terapi musik berkait rapat juga dengan terapi hisapan. Corak menghisap dikatakan mempunyai rentak tertentu. Oleh itu, adalah amat digalakkan jika semasa proses latihan rangsangan diberikan, pasang radio / lagu kanak-kanak.

Untuk mengetahui cara-cara latihan rangsangan hisapan yang lebih lanjut, dapatkan nasihat daripada ahli terapi pertuturan di hospital yang berdekatan.

Wednesday, April 8, 2009

Feeding tube


Terdapat banyak sebab mengapa doktor mengkehendaki agar seorang bayi/kanak-kanak memakai 'feeing tube' atau juga dikenali 'NG tube'.

Selalunya, kanak-kanak Down Syndrom, cerebral palsi, Edward Syndrom dan sebagainya sering dikaitkan dengan 'feeding tube'.

Ibu bapa biasanya berasa sedih dan kasihan melihat bayi yang masih terlalu kecil terpaksa makan melaui feeding tube. Seolah-olah hilang nikmat makan yang seharusnya dinikmati oleh setiap manusia. Tambah menyakitkan apabila melihat feeding tube tersebut terpaksa ditukar setiap 2 minggu (bergantung kepada jenis tube). Ini bermakna, setiap 2 minggu, proses mengeluarkan feeding tube yang lama, dan memasukkan feeding tube yang baru akan berulang-ulang.

Sampai bilakah anak yang kasihan ini perlu melalui proses yang menyeksakan ini?

Feeding therapy atau terapi pemakanan selalunya dijalankan oleh speech therapist di hospital. Speech therapist akan menunjukkan cara bagaimana untuk membuat latihan oral motor supaya bayi tersebut boleh mula menghisap dengan menggunakan mulut. Speech therapist akan memberi penerangan kepada ibu supaya ibu boleh membuat latihan tersebut sendiri dengan anaknya.

Selain itu, speech therapist juga akan membuat penilaian terhadap jenis kepekatan makanan, tekstur makanan serta suhu yang bersesuaian berdasarkan keupayaan bayi/kanak-kanak tersebut. Mungkin juga terdapat perubahan yang perlu dilakukan dari segi cara duduk/baring/peralatan yang diperlukan ketika makan.

Monday, April 6, 2009

Anak awak ni bisu ke?


Pernahkah anda ditanya sedemikian rupa? Di rumah, anak anda bercakap dan berceloteh macam-macam. Tapi di sekolah/tadika, cikgu bagitahu yang anak anda diam. Hanya angguk, tunjuk dan geleng kepala saja.

Ada juga kanak-kanak yang boleh bermain dengan kawan-kawannya seperti kanak-kanak lain (memanjat pokok, berlari) tetapi tidak mengeluarkan sepatah perkataan atau suara pun semasa bermain. Dan apabila pulang ke rumah, bercerita macam-macam tentang aktivitinya di luar tadi.
Ada kes yang lagi teruk, anaknya langsung tak nak berenggang dengan ibu. Bila disuruh bersalam dengan kawan ibunya yang datang melawat di rumah, langsung tak mahu. Jika dipaksa menjawab, anak itu akan menangis tanpa suara.

Kes sebegini lebih melibatkan isu psikologi berbanding isu pertuturan. Ada beberapa kemungkinan faktor yang menyebabkan kes sebegini berlaku:

1) Anak pernah mengalami pengalaman yang menyakitkan. Contohnya: didera oleh pengasuh, kematian nenek tersayang, menyaksikan kemalangan yang mengerikan (kebakaran/kematian/pembunuhan).

2) Baru berpindah ke tempat yang baru dengan suasana bahasa/budaya yang amat berbeza berbanding sebelumnya. Tetapi jika berlarutan sehingga lebih 1 bulan, maka sesuatu perlu dilakukan.

Perhatikan tingkah laku anak anda dalam situasi tertentu:
  • Semasa bersama ahli keluarga dekat
  • Semasa bersama ahli keluarga jauh
  • Semasa bersama rakan sekolah
  • Semasa bersama jiran
  • Semasa bersama cikgu
  • Semasa kenduri di rumah sendiri
  • Semasa kenduri di rumah orang lain