Monday, March 23, 2009

Sumbing bibir lelangit.




Sumbing bibir dan lelangit selalunya menyebabkan suara menjadi sengau, susah nak makan dan memberi kesan besar terhadap paras rupa. Kini, bayi yang dilahirkan sumbing selalunya terus mendapat rawatan/pembedahan untuk memperbaiki sumbing tersebut.

Akan tetapi, pembedahan sahaja belum tentu dapat memperbaiki kesengauan yang dihadapi oleh kanak-kanak. Apabila kita bercakap, kita menggunakan udara dari paru-paru, dan keluar melalui mulut. apa yang berlaku kepada pesakit sumbing ialah, udara dari paru-paru tersebut sebahagian besarnya terlepas keluar melalui hidung.

Terdapat satu struktur di kawasan lelangit lembut (belakang lelangit keras) yang boleh bergerak untuk menutup saluran udara ke arah hidung. Bagi kanak-kanak sumbing lelangit, bahagian lelangit lembut ini tidak dapat berfungsi dengan baik, walaupun setelah pembedahan dilakukan.

Terapi pertuturan dapat membantu mengenalpasti punca sengau dan melaksanakan pelan terapi untuk mengatasi masalah tersebut. Kanak-kanak yang sumbing bibir/lelangit juga selalunya ada masalah artikulasi (pelat). Sebutan menjadi tak jelas dan sukar difahami. Contohnya perkataan 'batu' disebut 'mau'.

Semasa kita bercakap, lidah perlu diletakkan ditempat-tempat tertentu di dalam mulut. Contohnya, bunyi 't' lidah diletakkan di belakang gigi atas dan bunyi 'k' lidah belakang dinaikkan ke lelangit.

Bagi kanak-kanak sumbing, deria sensori di bahagian langit/bibir mejadi kurang. Oleh itu semasa bercakap, mereka tak dapat pastikan di mana lidah mereka atau bibir mereka perlu digerakkan.

Terdapat juga rawatan terapi pertuturan yang melibatkan latihan oral-motor iaitu dengan cuba meningkatkan keupayaan deria sensori di kawasan-kawasan tertentu di dalam mulut.

Selain masalah pertuturan, kanak-kanak sumbing juga - terutamanya bayi yang baru lahir, mempunyai masalah untuk minum susu. Susu yang disuapkan kebanyakkannya keluar melalui hidung. Mereka juga tak boleh menyedut dari puting susu ibu jika mengalami sumbing lelangit. Ini menyebabkan bayi lapar dan berisiko kekurangan zat. Oleh itu, suapkan bayi dengan menggunakan sudu. Teknik menyuap ini selalunya diajar oleh jururawat di hospital.

Kanak-kanak sumbing lelangit selalunya berisiko tinggi untuk mengahadapi masalah pendengaran. Oleh itu, ujian pendengaran berkala perlu dilakukan untuk memastikan tiada jangkitan di telinga tengah. Masalah pendengaran memberi kesan besar terhadap pertuturan dan bahasa.

Thursday, March 19, 2009



  • Anak anda payah nak makan?
  • Adakah anda berasa bimbang dengan cara anak anda makan?
  • Adakan anak anda turun berat badan atau sentiasa kurus disebabkan cara makan yang tak betul?
  • Adakah anak anda masih makan makanan bayi walaupun telah berumur kanak-kanak?
  • Adakah anak anda ambil masa terlalu lama untuk menghabiskan makanannya?
  • Adakah anak anda pernah ada isu-isu gastro seperti muntah, pakai tiub makanan atau isu-isu pernafasan dan neurology (otak)?
  • Adakah anak anda mempunyai masalah koordinasi sehingga menyukarkannya untuk makan dengan selesa?

Kanak-kanak menunjukkan ketidakselesaan terhadap makanannya dengan cara yang berbeza-beza. Ada yang nak termuntah sebaik saja melihat makanan, tak mahu duduk di meja makan, menjerit, muntahkan semula makanan, tak mahu buka mulut dan sebagainya. Ini menyebabkan waktu makan menjadi waktu yang amat menyeksakan bagi ibu bapa dan juga kanak-kanak itu sendiri.


Terapi pemakanan dan penelanan dapat membuat penilaian lanjut dengan mengenalpasti punca-punca masalah serta tanda-tanda yang ditunjukkan oleh anak anda. Berdasarkan penilaian ahli terapis, pelan terapi akan dilaksanakan untuk membantu anak anda menghadapi masalah tersebut.

Jadikan waktu makan sebagai waktu yang menyeronokkan, tiada lagi penyeksaan.

Wednesday, March 18, 2009

Permainan kanak-kanak



Ramai ibu bapa yang membelikan permainan kepada anak tanpa memikirkan apakah tujuan permainan tersebut. Permainan yang tidak bertujuan akhirnya berakhir sekadar satu permainan yang sia-sia. Permainan itu dapat memberi keseronokkan, tetapi takkan dapat bertahan lama.

Sebelum membeli mainan, fikir dahulu, adakah mainan tersebut dapat membina sesuatu dalam diri anak anda. Kadang kala, permainan yang cukup mudah seperti plastik sampah juga, boleh menjadi permainan yang membina.

1) Permainan yang boleh menggalakkan rasa ingin tahu anak-anak. Permainan begini selalunya melibatkan kanak-kanak perlu mendengar, memegang, merasa dan mengubahsuai.

2) Permainan yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak secara fizikal. Ini melibatkan pergerakkkan menendang, membaling, menangkap, memanjat dan sebagainya.

3) Permainan yang menggalakkan kemiharan membina. Kanak-kanak memerlukan kefahaman terhadap konsep warna, saiz dan berat. Selalunya aktiviti melibatkan kemahiran jari-jari seperti membuat rantai, menuang air, membuat doh tanah liat dan sebagainya.

4) Permainan yang membina imaginasi. Contohnya menjadi ibu kepada anak patung - memandikannya, memakaikan baju, bagi makan, tidurkan. Contoh lain seperti membasuh kereta mainan - tuang air dalam baldi, letak sabun, berus tayar, lap cermin. Semuanya dilakukan dalam imaginasi.

5) Permainan menggalakkan aktiviti sosial. Permainan begini melibatkan interaksi antara ahli keluarga dengan anak atau interaksi antara anak dengan kawan-kawannya. Contohnya main pondok-pondok.

Sesuatu permainan yang dibeli itu mungkin boleh menepati kelima-lima target di atas atau boleh jadi juga tidak menepati langsung (sia-sia).
Contohnya,
Permainan set peralatan dapur boleh:
- Galakkan imaginasi
- Galakkan aktiviti sosial

Oleh itu, belilah permainan untuk anak anda secara bijak.

Galakkan komunikasi anak

Cara-cara menggalakkan komunikasi awal kanak-kanak.

1) Biasakan kanak-kanak dengan rutin harian.

2) Tema permainan

3) Ikut rentak permainan kanak-kanak

4) Beri contoh yang betul

5) Elakkan mengajuk cakap seperti keanak-anakkan

6) Tunggu respon –verbal atau bukan verbal.

7) Gunakan gaya yang sesuai – ekspresi muka, gesture etc

8) Cipta peluang komunikasi

a. Beri pilihan

b. Susun semula persekitaran

c. Lakukan perkara yang tak dijangka

d. Jangan terus memenuhi permintaan anak

e. Lakukan kesilapan

9) Menerima usaha kanak-kanak yang ingin berkomunikasi

10) Cuba mentafsir maksud komunikasi anak dan cuba galakkan anak terus berusaha untuk berkomunikasi.

11) Sentiasa menceritakan apa yang berlaku dan menamakan benda-benda.

12) Perlu cakap dengan jelas, melabel dengan betul. Elakkan guna ‘yang tu’, ‘macam ni’.

13) Gunakan ayat yang ringkas, pendek dan jelas.

14) Gunakan peluang seharian untuk berkomunikasi.

15) Dengar permintaan anak dengan bersungguh-sungguh.

16) Baca buku kepada anak setiap hari.

Kemahiran bermain



Kanak-kanak lebih mudah belajar sambil bermain. Jika kanak-kanak 3 tahun disuruh duduk diam dan belajar atas kerusi, pasti takkan dapat bertahan lama. Paling lama pun 3 minit.

Jadi, bagaimana ibu bapa nak mulakan pendidikan awal terhadap anak-anak di rumah?
Caranya mudah saja iaitu bermain bersama mereka. Terdapat banyak kemahiran yang akan diperoleh melalui cara bermain. Contohnya:

Kemahiran bermain asas

- Boleh bertentang pandangan mata dengan rakan semasa bermain.

- Memberi perhatian terhadap permainannya.

- Bermain dalam situasi yang sesuai.

- Boleh meniru cara rakan bermain dengan objek-objek.

- Menggunakan konsep punca dan akibat semasa bermain. (bila tekan, keluar bunyi)

- Memadankan permainan atau gambar yang sama warna dan bentuk.

Kemahiran bermain pertengahan

- Boleh mengikut arahan mudah (Mari sini, ambil tu, bagi mama)

- Boleh menunggu giliran

- Boleh berkongsi permainan

- Boleh faham dan menyebut nama-nama objek

- Boleh meniru permainan melibatkan pergerakkan jari. (menyanyi sambil buat gaya)

- Boleh melengkapkan permainan. (lego jadi rumah/kereta)

Kemahiran yang lebih maju

- Boleh mengikut arahan kompleks (pergi dapur, ambil cawan.) (ambil hp ibu atas katil dalam bilik)

- Memulakan aktiviti permainan (Jom main sorok-sorok)

- Bermain olok-olok (Main cikgu-cikgu, kawin-kawin, masak-masak)

- Boleh menyesuaikan diri dengan perubahan (Bertukar jenis alat permainan)

- Membaca dan memahami pembacaan

- Ada semangat pasukan

- Boleh membuat keputusan.


Kanak-kanak suka bermain mengikut tema. Contohnya tema 'melawat zoo', 'birthday barty', 'mandi anak patung', 'masak-masak', 'lumba kereta', dan sebagainya.

Oleh itu, luangkan masa berkualiti anda bersama yang tersayang.

Kanak-kanak Lewat Bertutur


Pernahkah anda berjumpa dengan kanak-kanak yang telah berumur 5 tahun, tapi masih bercakap sepatah-sepatah dan sebutannya tak berapa betul?

Ramai ibu bapa yang menyedari bahawa anaknya lambat bercakap, tetapi hanya berharap agar anaknya akan lancar bercakap dengan sendirinya apabila masuk tadika.

Hakikatnya ramai antara mereka yang tidak juga lancar bercakap walaupun telah masuk ke sekolah rendah. Pada saat itu, barulah ibu bapa tersedar bahawa sesuatu perlu dilakukan.

Jika anda merupakan salah seorang ibu bapa yang mempunyai anak yang lewat bertutur, masih sempat lagi untuk anda bertindak dari sekarang.

Tahukah anda bahawa terdapat rawatan Terapi Pertuturan Bahasa di Malaysia ?
Di luar negara ia dikenali sebagai Speech and Language Pathologist. Kini di Malaysia, bidang terapi pertuturan sedang berkembang.

Terdapat Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) di hospital kerajaan serta terdapat juga ahli terapi yang membuka klinik pertuturannya sendiri. Mereka dapat membuat penilaian khusus mengenai pertuturan anak anda serta memberikan khidmat terapi yang bersesuaian untuk meningkatkan keupayaan anak anda berkomunikasi.

Masalah pendengaran



Ibu bapa selalunya mula berasa syak bahawa anak mereka mengalami masalah pendengaran jika anak mereka tak menoleh jika nama dipanggil. Mereka juga tak berminat dengan permaianan yang berbunyi serta tak peduli jika telefon di rumah berdering. Mereka juga seperti tak sedar bahawa ayah sudah pulang ke rumah.

Apa yang boleh dilakukan ialah segeralah bawa anak berjumpa dengan doktor. Doktor akan merujuk anak anda kepada Audiologist. Audiologist akan membuat ujian khusus terhadap tahap pendengaran anak anda.

Jika masalah pendengaran disebabkan oleh lelilin telinga yang tersumbat, maka doktor ENT akan memberi ubat untuk mengeluarkan lelilin telinga tersebut.

Tetapi jika masalah pendengaran disebabkan oleh saraf, maka Audiologist akan menasihatkan penggunaan alat bantu pendengaran. Alat tersebut akan menguatkan bunyi yang sampai ke telingan anak. Terdapat juga satu kaedah moden yang agak baru di Malaysia iaitu koklea implant. Kaedah ini memerlukan proses pembedahan dan mengimplant sejenis alat ke dalam kepala.

Apa pun kaedah yang diberikan, terapi pertuturan amat penting untuk membantu anak bertutur. Audiologist selalunya merujuk kanak-kanak yang telah dipakaikan alat kepada ahli terapi pertuturan.

Terapi pertuturan amat penting untuk membantu kanak-kanak yang bermasalah pendengaran bertutur. Walaupun telah memakai alat bantu dengar, tetapi bunyi yang didengar itu masih sukar untuk diproses. Ketika kali pertama dipakaikan alat, kanak-kanak tidak dapat membezakan bunyi persekitaran dan percakapan. Mereka seolah-olah seperti bayi baru lahir yang pertama kali mendengar bunyi. Oleh itu, adalah mustahil untuk mereka terus pandai bercakap setelah dipakaikan alat bantu pendengaran.

Down Syndrome



Kanak-kanak Down Syndrom selalunya dikaitkan dengan rupa fizikal tertentu, tahap IQ yang kurang berbanding normal dan mempunyai masalah kesihatan lain seperti jantung, pemakanan, pendengaran dan sebagainya.

Kini pelbagai khidmat disediakan oleh kerajaan dan swasta untuk membantu kanak-kanak istimewa ini. Antaranya ialah:
1) Rawatan fisioterapi - untuk latih otot-otot supaya dapat berjalan dengan betul.
2) Rawatan terapi cara kerja - Untuk latih otot halus seperti jari untuk makan/menulis/pakai butang
3) Terapi pertuturan bahasa - Untuk latih komunikasi yang berkesan
4) Pnedidikan intervansi awal - Untuk memberi pendidikan awal supaya tahap IQ dapat ditingkatkan pada usia muda.

Kanak-kanak Down Syndrome selalunya mempunyai minat yang unik seperti suka melihat cermin, periang, suka mendengar nyanyian dan suka menonton rancangan berbentuk nyanyian di tv.

Mereka juga selalunya ada masalah untuk berkomunikasi. Jika tak dapat bercakap, mereka akan menunjuk untuk meminta, atau membuat gaya isyarat tentang barang yang dipinta.

Terapi pertuturan dapat membantu kanak-kanak Down Syndrom menggunakan keupayaan yang ada untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan, supaya percakapannya lebih mudah difahami serta mudah juga memahami percakapan orang lain.

Kaedah belajar sambil bermain amat membantu kanak-kanak Down Syndrom belajar pertuturan. Bawalah anak anda berjumpa dengan ahli terapi pertuturan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang cara-cara terbaik membentuk kaedah komunikasi anak anda.

Anda juga boleh menyertai persatuan-persatuan yang mengumpulkan individu Down Syndrome di kawasan anda. Terdapat cawangan Persatuan Sindrom Down di seluruh negara. Dengan menyertai program mereka, anda akan berjumpa dengan ibu bapa lain yang mungkin turut mengalami pengalaman yang seperti anda alami. Mereka juga selalunya menganjurkan program-program yang dapat membantu individu Down syndrome supaya lebih dekat dengan masyarakat.

Cerebral Palsy


Cerebral palsy ialah gangguan pada bahagian otak yang selalunya disebabkan lemas semasa lahir atau ketika dalam kandungan. Kanak-kanak cerebral palsy selalunya ada masalah pada perkembangan fizikalnya. Namun tidak semua mereka ini mempunyai masalah mental. Malah ada antara mereka yang berjaya cemerlang dalam akademik.

Selain masalah fizikal, mereka juga sering mempunyai masalah pertuturan. Mereka susah untuk menyebut sesuatu perkataan walaupun hakikatnya mereka tahu apa yang ingin disebut. Contohnya, mereka boleh menunjuk gambar cawan, kereta, rumah, tetapi apabila menyebut, perkataan yang keluar ialah 'awa' untuk cawan, 'ke' untuk kereta dan 'uwa' untuk rumah.

Kanak-kanak cerebral palsy juga sering menghadapi masalah untuk makan. Antara masalah yang sering berlaku ialah:
1) Susah untuk mengunyah makanan yang agak keras.
2) Tidak dapat menyuap makanan ke dalam mulut kerana koordinasi tangan yang tak stabil.
3) Makanan yang sedang dikunyah di dalam mulut terkeluar semula.
4) Mengambil masa yang terlalu lama untuk menghabiskan satu hidangan.
5) Terpaksa makan melalui tiub makanan.
6) Berat badan semakin kurus disebabkan kekurangan zat makanan.

Pegawai Terapi Pertuturan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap masalah komunikasi serta masalah makan/telan. Pelan terapi akan dibuat berdasarkan tahap keupayaan kanak-kanak tersebut.

Bagi kanak-kanak yang boleh bertutur, mungkin hanya perlu diberi terapi terhadap sebutan-sebutan yang tidak jelas. Contohnya perkataan 'topi' disebut 'koki'.

Bagi kanak-kanak yang tidak boleh bertutur, kaedah lain akan diperkenalkan untuk tujuan komunikasi seperti melalui buku bergambar, papan taip, gaya tangan dan gerak tubuh dan sebagainya.

Jika anda mempunyai anak yang mengalami cerebral palsy, segeralah membawanya berjumpa dengan ahli terapi pertuturan yang berhampiran.

Autisme


Autism Spektrum Disorder. Kenapa dipanggil spektrum? Ini kerana penyakit ini sangat banyak variasinya. Dari yang paling teruk ciri-cirinya hinggalah yang paling sedikit ciri-cirinya.

Diagnosis diberikan oleh pakar psikologi atau doktor psikiatri. Mereka akan buat penilaian khusus, melihat ciri-ciri yang menunjukkan simptom autism.

Antara simptom yang sering dilihat bagi kanak-kanak autism ialah:

1) Tak boleh bercakap / sangat sedikit percakapannya.

2) Masalah untuk bergaul. Suka bersendirian, bermenung, dan tak nak pandang orang lain.

3) Bermain dengan ganjil. Suka pusing tayar kereta mainan lama-lama, suka susun benda panjang-panjang dan pantang diusik, suka melihat kipas atau tombol pintu.

4) Cakap satu perkataan / frasa berulang-ulang. Contohnya "makan, makan, makan...."

5) Mempunyai gangguan sensori - sama ada sentuhan (sensitif apabila disentuh), pendengaran (tak tahan bunyi bising), penglihatan (tak boleh tengok benda bergerak laju) dan sebagainya.

5) Mengulang perkataan yang kita sebutkan kepadanya. Contohnya jika ibu berkata, 'Apa ni?' dia akan jawab, 'apa ni, apa ni, apa ni...'.

Kanak-kanak begini mestilah segera dibawa ke hospital. Beberapa perkhidmatan di hospital boleh membantu seperti:

* Terapi Pertuturan
* Terapi Cara kerja
* Psikiatri

Terapi pertuturan amat penting untuk membantu kanak-kanak autism berkomunikasi. Terdapat beberapa kaedah yang boleh membantu komunikasi seperti:
- Verbal (pertuturan)
- Gaya isyarat sambil bercakap.
- Menunjukkan gambar

Pegawai Terapi Pertuturan akan membuat penilaian menyeluruh dan melihat potensi kanak-kanak untuk berkomunikasi.

Terdapat beberapa cara pengajaran yang sering dilihat membantu kanak-kanak autism.
1) Pengajaran secara terus.
2) Pengajaran berdasarkan aktiviti
3) Pengajaran berdasarkan persekitaran