Monday, March 23, 2009

Sumbing bibir lelangit.




Sumbing bibir dan lelangit selalunya menyebabkan suara menjadi sengau, susah nak makan dan memberi kesan besar terhadap paras rupa. Kini, bayi yang dilahirkan sumbing selalunya terus mendapat rawatan/pembedahan untuk memperbaiki sumbing tersebut.

Akan tetapi, pembedahan sahaja belum tentu dapat memperbaiki kesengauan yang dihadapi oleh kanak-kanak. Apabila kita bercakap, kita menggunakan udara dari paru-paru, dan keluar melalui mulut. apa yang berlaku kepada pesakit sumbing ialah, udara dari paru-paru tersebut sebahagian besarnya terlepas keluar melalui hidung.

Terdapat satu struktur di kawasan lelangit lembut (belakang lelangit keras) yang boleh bergerak untuk menutup saluran udara ke arah hidung. Bagi kanak-kanak sumbing lelangit, bahagian lelangit lembut ini tidak dapat berfungsi dengan baik, walaupun setelah pembedahan dilakukan.

Terapi pertuturan dapat membantu mengenalpasti punca sengau dan melaksanakan pelan terapi untuk mengatasi masalah tersebut. Kanak-kanak yang sumbing bibir/lelangit juga selalunya ada masalah artikulasi (pelat). Sebutan menjadi tak jelas dan sukar difahami. Contohnya perkataan 'batu' disebut 'mau'.

Semasa kita bercakap, lidah perlu diletakkan ditempat-tempat tertentu di dalam mulut. Contohnya, bunyi 't' lidah diletakkan di belakang gigi atas dan bunyi 'k' lidah belakang dinaikkan ke lelangit.

Bagi kanak-kanak sumbing, deria sensori di bahagian langit/bibir mejadi kurang. Oleh itu semasa bercakap, mereka tak dapat pastikan di mana lidah mereka atau bibir mereka perlu digerakkan.

Terdapat juga rawatan terapi pertuturan yang melibatkan latihan oral-motor iaitu dengan cuba meningkatkan keupayaan deria sensori di kawasan-kawasan tertentu di dalam mulut.

Selain masalah pertuturan, kanak-kanak sumbing juga - terutamanya bayi yang baru lahir, mempunyai masalah untuk minum susu. Susu yang disuapkan kebanyakkannya keluar melalui hidung. Mereka juga tak boleh menyedut dari puting susu ibu jika mengalami sumbing lelangit. Ini menyebabkan bayi lapar dan berisiko kekurangan zat. Oleh itu, suapkan bayi dengan menggunakan sudu. Teknik menyuap ini selalunya diajar oleh jururawat di hospital.

Kanak-kanak sumbing lelangit selalunya berisiko tinggi untuk mengahadapi masalah pendengaran. Oleh itu, ujian pendengaran berkala perlu dilakukan untuk memastikan tiada jangkitan di telinga tengah. Masalah pendengaran memberi kesan besar terhadap pertuturan dan bahasa.

No comments:

Post a Comment