Wednesday, March 18, 2009

Cerebral Palsy


Cerebral palsy ialah gangguan pada bahagian otak yang selalunya disebabkan lemas semasa lahir atau ketika dalam kandungan. Kanak-kanak cerebral palsy selalunya ada masalah pada perkembangan fizikalnya. Namun tidak semua mereka ini mempunyai masalah mental. Malah ada antara mereka yang berjaya cemerlang dalam akademik.

Selain masalah fizikal, mereka juga sering mempunyai masalah pertuturan. Mereka susah untuk menyebut sesuatu perkataan walaupun hakikatnya mereka tahu apa yang ingin disebut. Contohnya, mereka boleh menunjuk gambar cawan, kereta, rumah, tetapi apabila menyebut, perkataan yang keluar ialah 'awa' untuk cawan, 'ke' untuk kereta dan 'uwa' untuk rumah.

Kanak-kanak cerebral palsy juga sering menghadapi masalah untuk makan. Antara masalah yang sering berlaku ialah:
1) Susah untuk mengunyah makanan yang agak keras.
2) Tidak dapat menyuap makanan ke dalam mulut kerana koordinasi tangan yang tak stabil.
3) Makanan yang sedang dikunyah di dalam mulut terkeluar semula.
4) Mengambil masa yang terlalu lama untuk menghabiskan satu hidangan.
5) Terpaksa makan melalui tiub makanan.
6) Berat badan semakin kurus disebabkan kekurangan zat makanan.

Pegawai Terapi Pertuturan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap masalah komunikasi serta masalah makan/telan. Pelan terapi akan dibuat berdasarkan tahap keupayaan kanak-kanak tersebut.

Bagi kanak-kanak yang boleh bertutur, mungkin hanya perlu diberi terapi terhadap sebutan-sebutan yang tidak jelas. Contohnya perkataan 'topi' disebut 'koki'.

Bagi kanak-kanak yang tidak boleh bertutur, kaedah lain akan diperkenalkan untuk tujuan komunikasi seperti melalui buku bergambar, papan taip, gaya tangan dan gerak tubuh dan sebagainya.

Jika anda mempunyai anak yang mengalami cerebral palsy, segeralah membawanya berjumpa dengan ahli terapi pertuturan yang berhampiran.

No comments:

Post a Comment